Jenis Perniagaan : Menganjurkan motivasi,Pengurusan majlis,Jualan produk buku,Membekalkan alatan pejabat,pakaian Muslim,Design ( Kad,Poster dan Banner ) dan Membekal makanan dan minuman. No Pendaftaran : JM 0583778-V
Wednesday, 14 December 2011
TENTANG HATI - BACK TO BASIC
Kenali Hati, Rasai hati, Hidupkan hati, Suburkan Hati, Tenangkan Hati, Insyaallah Kebahagiaan dimiliki......
SELAMAT MENGIKUTI PROGRAM KAMI “ BACK TO BASIC ”
Kepentingan hati
Hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan hati manusia dapat hidup dengan erti kata yang sebenarnya dan tanpa hati atau hati yang mati, hidup seseorang tidak bererti.
2 Elemen hati :
Pertama:
Hati jasmani yang menjadi organ penting dalam tubuh manusia,dikenali juga sebagai “liver”, hati yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan badan manusia supaya sentiasa sihat. Sekiranya hati ini gagal berfungsi maka berbagai komplikasi kesihatan akan terjadi dalam tubuh manusia.
Kedua :
Hati rohani atau dikenali sebagai fuad, af’idah, basirah, lub, albab ,mata hati. Hati yang tidak dapat dirasa dengan panca indera tetapi menjadi peneraju dan pemandu kepada kehidupan manusia. Sering juga dipanggil hati nurani.
Berkaitan hati ini, Rasulullah saw bersabda diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim :
أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ،
وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْب
“Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati.”
Kedudukan hati :
Hati dalam diri manusia adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan manusia.
Hati merupakan penggubal dasar dan prinsip kehidupan yang akan dilalui oleh seseorang manusia.
Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila manusia perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Peranan hati :
Terlalu besar peranan hati dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan “apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia”.
Hati – Iman dan Taqwa
Hakikat ini memang benar, kerana hati yang baik, akan dipenuhi dengan iman dan taqwa, apabila hati dipenuhi dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap, maka ia akan memandu seluruh anggota untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah, apabila hati itu baik, ia akan dipenuhi dengan segala macam sifat mahmudah, yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak yang mulia.
Hati yang baik
Sebab itulah orang yang hatinya baik akan sentiasa melakukan solat, khusuk dalam solatnya dan solatnya dapat menghindarkan diri dari segala macam dosa dan maksiat, hatinya akan sentiasa mendorong pemiliknya untuk bersifat dengan sabar, lemah lembut, penyayang, pemurah dan berbagai-bagai budi pekerti yang mulia.
Ringkasnya orang yang hatinya baik itu ialah orang yang hatinya dipandu oleh iman dan hidayah Allah swt, manusia yang cukup sempurna menepati tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini, Contoh yang paling hampir kepada kita ialah Rasulullah saw. Manusia agung yang dihiasi dengan budi pekerti dan akhlaq mulia kerana hatinya yang bersih, disucikan oleh malaikat Jibril dengan kehendak dari Allah swt.
Hati yang rosak :
Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang rosak, hati yang ditutup oleh Allah swt, hati yang dikuasai oleh hawa nafsu, mendorong kepada dosa dan maksiat, hawa nafsu yang mendorong kepada keseronokan songsang, maka kita lihat manusia ini hidupnya tidak karuan.
Hidupnya tiada matlamat, tiada ketenangan dalam diri, dan jauh dari itu mereka sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, mereka menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi masalah kepada masyarakat, mereka menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa mereka kepada kehinaan, dan yang lebih malang mereka yang mempunyai hati yang rosak ini menjadi tunggangan syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa manusia bersama-sama mereka ke neraka jahannam.
Sebab orang yang hatinya rosak tidak ada hati perut, orang yang hatinya mati tidak ada perasaan belas kasihan, orang yang hatinya sakit ini tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka sebagaimana yang ditunjukkan oleh orang-orang yahudi yang memang telah ditutup hatinya dari pertunjuk dan hidayah Allah swt, nauzubillahi min zalik .
Orang-orang yang hatinya sudah rosak tidak merasa bersalah apabila mereka mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah, salahguna kuasa dan lain-lain kerana hawa nafsu sudah menguasai mereka.
Begitulah besarnya peranan hati dalam kehidupan manusia. Oleh itu marilah sama-sama kita mengenali diri kita dan perbaiki diri kita supaya dengan hati yang baik kita menjadi manusia yang baik seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda;
• خير الناس أنفعهم للناس
Maksudnya ; Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling berguna kepada orang lain.
Hati yang sihat :
Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, Kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah swt;
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya; Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (al-Ra’d:28 )
Sabda Rasulullah saw;
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.
Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.
Hati yang sakit :
Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.
Penyakit hati :
Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;
1. Penyakit hati terhadap Allah.
2. Penyakit hati terhadap manusia.
Antara penyakit hati terhadap Allah :
1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati Allah
3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan Allah
5. Tidak takut pada ancaman Allah
6. Tidak harap pada rahmat Allah
7. Tidak redha akan takdir Allah
8. Tidak puas dengan pemberian Allah
9. Tidak sabar atas ujian Allah
10.Tidak syukur atas nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi Allah
12.Tidak terasa hebatnya Allah
13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah
14.Tidak tawakal pada Allah
15.Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan kemasyhuran
Antara penyakit hati terhadap manusia :
1. Benci membenci
2. Gembira atas kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan ragam manusia
18.Memandang hina kepada seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan suci
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment