Masih tidak terlambat lagi
untuk penulis mengucapkan Salam Hijrah sempena ketibaan tahun baru 1436H kepada
adik-adik yang dikasihi Allah. Semoga tahun baru ini memberi rahmat dan
kebaikan buat kita semua khasnya umat Islam di Malaysia. Tidak lupa juga, salam
perjuangan buat adik-adik yang sedang menduduki peperiksaan SPM 2014, semoga
dengan berlangsungnya SPM 2014 dalam bulan hijrah ini adik-adik diberi keberkatan perjuangan
yang telah dilakukan dan menjadi titik tolak perubahan kehidupan adik-adik ke
alam yang lebih matang kelak.
Maksud hijrah
Penulis mengambil peluang
untuk membawa adik-adik menghayati perjuangan dalam bulan hijrah ini. Perkataan
‘hijrah’ bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan
dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah
laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman
lebih kukuh dan mantap. Setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian,
lebih- lebih lagi orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang
itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.
Antara ujian itu disebut
dalam firman Allah SWT:
“Kemudian,
sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah
sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta
bersabar ( sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan); sesungguhnya Tuhanmu adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 110)
Apabila berkata tentang
hijrah, ia dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah
adalah antara cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci serta menjaga
kehormatan diri.
Ini bertepatan firman Allah
SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta
berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang
yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)
Adik-adik, penulis ingin
mengajak kita semua merenung sejenak tentang ujian yang hadir dalam kehidupan
kita. Ujian peperiksaan, konflik dengan sahabat baik, konflik dengan ibu bapa
dan apa sahaja permasalahan yang datang dalam kehidupan kita bukanlah
semata-mata masalah, tetapi ianya juga adalah jalan untuk meninggikan darjat. Kita tidak mungkin sampai ke tahap para
sahabat terdahulu yang perlu mengorbankan tubuh badan, ibu bapa dan semua
kehidupan kita demi mempertahankan agama seperti Ammar bin Yasir, anak kepada
Sumayyah as-syahidah pertama dalam Islam.
Hijrah Sumber
Kekuatan Umat Islam
Sejarah membuktikan bahawa,
ujian getir yang telah dilalui oleh para sahabat yang terawal memeluk islam
merupakan persedian bagi penghijrahan
yang dilakukan mereka dari kota Mekah ke kota Madinah. Penghijrahan ini juga menjadi
satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada
ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu
Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan
sistem nilai dan hidup manusia.
Penghijrahan telah menjadi
proses kematangan dalam penyebaran risalah Allah s.w.t ini dan tidak mungkin
berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam
berhadapan suasana baru. Rasulullah s.a.w telah menanamkan benih-benih
perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan
dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan
Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu
sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari
kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di
dalam diri mereka sendiri.
Cuba adik-adik perhatikan
umat Islam hari ini, perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia
hari ini yang begitu pantas telah menghambat umat Islam dari melakukan
persediaan dan persiapan yang jitu lagi mantap bagi menghadapi perubahan dan
kejutan tersebut. Dunia tanpa sempadan,
perdagangan elektronik, era digital, teknologi maklumat, jenayah siber,
perlumbaan ilmu, kuasa ekonomi, kekuatan teknologi dan banyak lagi adalah
cabaran yang hanya mampu diharungi oleh generasi umat yang bersedia dari segi
mental, fizikal dan spiritual dalam melangkah menuju ke alaf baru. Penghayatan
kepada pengajaran di sebalik peristiwa hijrah dan bersesuaian dengan fenomena
sekarang, maka umat Islam perlu kepada kekuatan yang berupa keyakinan,
kematangan, ilmu, kecekalan, kesungguhan dan kesatuan. Inilah unsur-unsur yang
perlu dimiliki dan Hijrah juga mengajarkan kita betapa pentingnya sikap ini
dibentuk kepada generasi umat Islam sekarang dalam meneruskan perjuangan
risalah Islam dalam arus perubahan alaf baru.
Hijrah Generasi
Umat
Apa yang dimaksudkan oleh penulis
tentang ciri-ciri hijrah bentuk baru yang perlu ditampilkan adalah penghijrahan
gaya berfikir, akhlak dan kebiasaan dalam kehidupan yang perlu diberi tumpuan khusus ke arah membentuk
sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera. Tiada gunanya kita sentiasa
‘up-to-date’ dalam bidang teknologi dan kecanggihan maklumat, tetapi jiwa kita
kering kontang dan senang dibawa arus hawa nafsu yang bergelora dalam diri yang
mana hakikatnya nafsu ini dikendalikan oleh syaitan! Adik-adik, kita perlu
wujudkan keseimbangan kemajuan di sudut rohani dan jasmani.
Perjuangan meneruskan misi
Rasulullah s.a.w di muka bumi ini iaitu meninggikan kalimah Allah sehingga
menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan yang tinggi dan
mantap. Generasi pewaris ummah hari ini perlu yakin bahawa berbekalkan
keimanan, semangat jihad dan panduan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka
sudah pasti perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan
pertolongan serta inayah daripada Allah s.w.t. Keyakinan yang bertitik tolak dari
kefahaman Islam yang sebenar berteraskan akidah tauhid adalah sumber kekuatan
mengharungi pelbagai perubahan dalam hidup dan sistem masyarakat dunia. Bahkan
dengan keyakinan ini juga, generasi pelapis akan melihat
perubahan-perubahan yang pesat berlaku pada
masa kini bukanlah halangan yang akan membantutkan perjuangan, akan tetapi
merupakan peluang yang membawa kepada kemenangan.
Oleh itu, maka adik-adik
sebagai generasi muda umat ini perlulah memantapkan kefahaman menerusi akidah
tauhid menerusi mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah
dan perjuangan Rasulullah s.a.w, perbincangan ilmiah sesama para cendekiawan
Islam dan yang lebih penting menguatkan hubungan dengan Allah dengan
membanyakkan solat, doa, dan ibadat-ibadat sunat. Jika generasi Islam ini
mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang.
Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran
terutama dengan kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memerlukan tenaga
mahir dalam bidang teknologi maklumat. Allah s.w.t telah berfirman di dalam
surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada dirinya”
Amat menyedihkan jika MSC
dipenuhi dengan wajah-wajah orang asing yang mengaut keuntungan sedangkan
bangsa kita terpinggir.
Untuk menuju ke alaf baru,
generasi Islam khususnya perlu menguasai ilmu. Ilmu dan pengetahuan adalah dua
perkara yang saling kait-mengait. Orang- orang yang berilmu semestinya adalah
seorang yang berpengetahuan. Ilmu dan pengetahuan tidak diperolehi dengan hanya
bergoyang kaki dan berbual kosong, tetapi ilmu yang jitu dan mantap hanya
diperolehi dengan pembacaan, pengkajian dan pembelajaran. Umat yang tinggi
tamadunnya adalah umat yang berilmu. Sesuatu bangsa atau umat tidak mungkin
mampu menerajui dunia dan menjadi contoh kepada umat-umat yang lain tanpa
memiliki kekuatan ilmu.
Hakikatnya, begitu banyak pencapaian
umat Islam yang gemilang dalam bidang keilmuan sehingga mampu mencorak dunia
telah dicatatkan. Sejarah telah membuktikan bahawa ketika zaman kegemilangan
Islam, umat Islam telah menjuarai bidang keilmuan. Siapa yang tidak mengenali
Ibnu Sina, tokoh perubatan terulung dunia. Buku beliau 'Al-Qanun Fit- Tib' meliputi
semua cabang ilmu perubatan sehingga diulang cetak lebih 16 kali sepanjang 30
tahun dan Eropah menjadikannya sebagai mata pelajaran di universiti dan fakulti
perubatan sehingga abad ke-17. Beliau dikenali di Dunia Barat sebagai Avicenna.
Begitu juga Abu Hamid Muhammad al-Ghazali atau Iman Ghazali, tokoh filosofi
terulung yang mengarang lebih 69 buah kitab dan yang paling terkenal kitab
‘Ihya’ Ulumuddin'. Eropah memanggil beliau Algazel. Tidak lupa juga Abu Bakar
Muhammad ibn Yahya atau Ibnu Bajah, tokoh dalam falsafah Islam, ilmu
kedoktoran, ilmu falak dan muzik. Buku beliau berjudul ‘Majmu’’ tersimpan di
Berlin (edisi Jerman) dan Oxford (edisi Inggeris). Beliau dikenali Barat
sebagai Avenrace. Demikian juga Ar-Razi (Barat memanggil beliau Rhazes) adalah
tokoh perubatan yang mengarang lebih 200 lain-lain, memberi kita pengajaran dan
ilmu melalui pengalaman sejarah Islam. Sejarah juga telah menunjukkan kepada
kita bahawa perkara utama yang dibawa oleh Rasulullah kepada masyarakatnya
ialah ilmu pengetahuan yang boleh menyedarkan mereka untuk mengenali diri,
mengenal Tuhannya seterusnya melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan kepada
mereka. Begitu juga pakar astronomi Islam, Muhammad ibn Jabir yang terkenal di
dunia barat dengan nama Albategnius. Demikianlah segelintir tokoh ilmuan Islam
yang terunggul di dunia dan diiktiraf oleh benua Eropah dan dunia Barat.
Adik-adik, bukti-bukti ini
menunjukkan bahawa pencapaian umat Islam yang sangat gemilang dalam bidang
keilmuan sehingga mampu mencorak dunia disiplin ilmu, tidak mungkin datang
secara tiba-tiba dan kebetulan tanpa usaha yang benar-benar gigih dan semangat
jihad yang tertanam kuat di dalam jiwa. Generasi pelapis umat ini perlu
memiliki daya tahan yang tinggi dalam melangkah ke alaf baru iaitu era cabaran
ilmu dan persaingan ilmu pengetahuan. Sesungguhnya daya juang yang tinggi ini
dapat dikutip dari generasi hijrah yang pertama menerusi pengajaran peristiwa
hijrah. Kegemilangan umat pasti akan kembali jika mereka celik sejarah dan
mengambil pengajaran daripadanya. Jika tidak umat Islam akan kekal dihina dan
tertinggal jauh ke belakang dan akhirnya teraba-raba dalam terang.
Ilmu juga diperolehi melalui
pengalaman apabila seseorang itu mengalami sendiri perkara-perkara atau
peristiwa yang memberi pengajaran kepadanya. Ilmu melalui pengkajian juga dapat
diperolehi melalui sejarah para nabi terdahulu. Sejarah mendewasakan kita dan
sejarah juga mengajar manusia supaya berilmu.
Kesimpulannya, generasi hari
ini perlu matang dalam menangani permasalahan yang hadir dalam kehidupan
justeru kematangan ini akan membantu melatih jiwa kita menjadi lebih kuat dan
fokus pada matlamat iaitu syurga tertinggi di samping membuka peluang pada diri
menguasai ilmu dan meneliti sejarah umat terdahulu agar tidak tenggelam dan
hilang dalam arus kemajuan dunia. Penulis mendoakan agar generasi ummah ini
adalah adik-adik yang sedang membaca artikel ini. Tahniah, kerana adik-adik
berusaha untuk menjadi ummah yang meningkatkan tamadun dengan ilmu melalui
pembacaan artikel ini.
Salam Mujahadah,
Aisyah Rahban
Bendahari KRIM Johor
No comments:
Post a Comment